Wednesday, April 24, 2019

PERBUATAN MANUSIA YANG MENGEJAR KEPADA KEMEGAHAN DIRI MEMBUATKAN MEREKA BERADA DALAM KELALAIAN

AL TAKAATSUR: SIRI 1

Perbuatan dan perasaan bermegah-megah yang lahir dalam diri manusia merupakan satu malapetaka yang akan menyebabkan manusia itu berada di dalam kelalaian sehinggakan mereka berakhir di lubang kubur dalam keadaan yang penuh dengan kehinaan.

“Kamu telah dilalaikan oleh perasaan dan perbuatan bermegah-megah” 
( Surah Al Takaatsur : Ayat 1 )


“ Sehingga kamu masuk ke lubang kubur” ( Surah Al Takaatsur : Ayat 2 )


Inilah antara faktor utama yang menyebabkan manusia pada alaf ini dilalaikan daripada mengingati dan memperhambakan diri kepada Allah serta mengamalkan cara hidup yang betul mengikut kehendak Al Quran dan agama. Mereka terus dilalaikan sehinggakan mereka menemui kematian. Mereka terus mengejar kekayaan dan kesenangan hidup untuk memperolehi kemegahan dan status di sisi manusia ramai sehinggakan mereka lupa akan tanggungjawab kepada Allah yakni “Hablul Minallah “ serta mereka lupa akan tanggungjawab kepada sesama manusia yakni  Hablul MinaNas” apabila mereka disibukkan dengan urusan untuk mengejar kekayaan di dunia bagi melahirkan kemegahan. 


Orang-orang Arab jahiliah yang kufur dan syirik, di zaman Rasulullah s.a.w dan sebelumnya, selalu menyombongkan diri, tamak dan lalai dengan usaha mengejar harta kekayaan ,pangkat, kuasa dan juga bermegah-megah dengan kekayaan yang dimiliki sehinggakan mereka terlupa akan tanggungjawab mereka kepada Tuhan serta tanggungjawab mereka kepada masyarakat serta lupa mengerjakan sesuatu yang memberi manfaat kepada mereka sendiri untuk bekalan hari kematian mereka.


Manusia telah leka dan lalai daripada mentaati Allah dengan meninggalkan perintah-perintahNya serta melanggar tegahaNya kerana terlalu asyik dan sibuk dengan bermegah-megah dengan banyaknya kesenangan dunia. Mereka sentiasa berlumba-lumba untuk menambahkan harta benda, pangkat, pengaruh dan sebagainya demi mencapai kemegahan diri yang diidam-idamkan oleh mereka sehinggakan masa mereka sehari-hari disibukkan dengan aktiviti mengejar kemegahan ini sehinggakan mereka mati.


Muhammad Abduh RahimahAllah Taala pernah berkata “ Makna ayat 1 dan 2 dalam surah Al Takaatur ( bermegah-megahan ) adalah membawa maksud ‘mereka-mereka yang berlumba-lumba mengejar dan mencari harta,kekayaan serta pangkat supaya mereka masing-masing mempunyai harta,pangkat dan kemegahan lebih banyak daripada orang lain demi mencari nama dan kemegahan diri, bukanya dengan bermatlamat untuk memberi kebajikan atau membantu orang-orang yang berada dalam kesusahan, anak-anak yatim serta orang-orang miskin daripada jumlah harta,pangkat dan pengaruh yang mereka miliki”.


Kecintaan dan terlalu mementingkan prestij atau kemegahan serta status sosial telah menjadikan seseorang itu buta mata hatinya dan menyebabkan mereka mencari kekayaan yang banyak tanpa mengetahui fungsi kekayaan itu yang sebenarnya. Perbuatan ini juga telah menimbulkan pelbagai masalah jenayah dalam ekonomi . Mereka yang buta mata hatinya juga akan bertindak melalui pelbagai cara yang tidak dibenarkan agar mereka dapat memperolehi harta, pangkat dan kekayaan demi memenuhi keinginan nafsu mereka yang cintakan kemegahan diri walaupun mereka terpaksa menggunakan jalan penipuan,rasuah,salah guna kuasa dan pelbagai kaedah yang tidak dibenarkan oleh agama hanya untuk memperolehi kemegahan diri.


Mencari harta pada satu tahap yang tertentu bagi memenuhi  keperluan diri dan keluarga adalah merupakan perkara yang baik dan diwajibkan dalam Islam, tetapi mencari harta bagi bertujuan untuk mendapatkan prestij sosial supaya mereka dihormati dan diagungkan oleh golongan masyarakat yang mana kekayaan itu bukan digunakan bagi faedah masyarakat, merupakan satu perbuatan sabotaj dan khianat kepada masyarakat.


Islam tidak pernah menegah orang-orang kaya untuk mengumpul harta dan keperluan mereka sekalipun ke peringkat jutawan, tetapi dengan syarat biarlah niat dan amalan mencari harta itu bukanlah untuk memperolehi kemegahan diri serta kesombongan dan takbur tetapi biarlah niat mereka mengejar harta, pangkat dan kekayaan itu adalah bertujuan untuk membantu orang-orang yang berhajat dan fakir miskin, anak yatim, orang yang dalam kesusahan serta membantu dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan dengan menggunakan daripada harta yang lebih daripada keperluan asas yang ada disisi mereka, sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah Al Baqarah ayat 219:


Dan mereka ( Orang-orang yang beriman ) bertanya kepadamu, Apakah yang mereka wajib nafkahkan? Katakanlah ( Wahai Muhammad ), yang lebih daripada keperluan kamu


( Surah Al baqarah: Ayat 219 )



Alangkah baiknya kalau tuan puan yang budiman untuk sama-sama share di fb masing-masing tulisan ini sebagai satu cara untuk sama2 menyebarkan ilmu yg bermanfaat ini. Terima Kasih di atas jasa baik kalian semua, Moga2 Allah memberi rahmat dan keberkatan yg mencurah2 kpd kalian semua

kredit:sumber imej dari google

FB: Falsafah Hikmah Al Quran

Madrasah Baitul Hikmah Kg Jambu






No comments:

Post a Comment